Zizan Razak Ulas Tentang Kontrak RM2 Juta

01:20
Zizan Razak Ulas Tentang Kontrak RM2 Juta



Menerusi laporan Harian Metro hari ini, pelawak, penyanyi serta pelakon popular, Zizan Razak dikhabarkan bakal mengikat kontrak bernilai RM2 juta bersama pihak pengurusan Astro. Pengacara program ‘Melodi’ ini dikatakan sudah dilamar oleh Astro dan bakal bernaung selama setahun dengan pihak pengurusan tersebut.


Sumber menghubungi pelantun lagu ‘Infiniti Cinta’ ini bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai kesahihan berita ini dan ketika dihubungi, Zizan agak terkejut dan mengakui tidak tahu-menahu mengenai kontrak RM2 juta yang dimaksudkan itu.


“RM2 juta? Kontrak RM2 juta dengan Astro? Saya tak faham. Semalam ada juga seorang wartawan menghubungi saya dan bertanyakan mengenai perkara ini. Saya ada juga dengar ura-ura ini tapi saya tak tahu mengenai lamaran itu. Saya selalu juga ulang-alik ke Astro dan kenal orang di sana, tapi mereka diam saja, tak cakap apa-apapun,” ujar Zizan.


Sumber sempat bertanyakan kepada pelakon filem ‘Hantu Bonceng’ ini andainya jika benar pihak Astro mahu melamarnya, adakah dia akan menerima tawaran tersebut. Walau bagaimanapun, Zizan memberitahu dia lebih selesa untuk tidak memberi sebarang komen mengenai perkara tersebut.





“Saya tak berani cakap. Kalau perkara ini betul, kononnya Astro nak lamar saya, mereka kena datang berurusan dengan saya dulu. Saya tak boleh nak mengatakan ya terus, sebab kami perlu berbincang dan saya juga kena tahu tentang kandungan kontrak tersebut,” jelas Zizan lagi.


Ketika dihubungi, penyanyi ‘Bawaku Pergi’ ini turut ditanya mengenai isu kononnya dia mahu membubarkan syarikat pengurusan miliknya, WireFame Entertainment. Perkara ini sekaligus menguatkan lagi desas-desus kononnya Zizan mempunyai konflik dalaman dengan pengurusnya, Marina Juki yang juga merupakan rakan kongsinya di syarikat tersebut.


“Isu pembubaran syarikat itu hanyalah khabar angin semata-mata kerana saya tak pernah cakap apa-apapun mengenai perkara itu. Mulut orang saja nak kecoh mengenai isu tersebut. Soal pengurus, saya adalah pemilik WireFame dan dari segi pengurusan karier, saya sendiri yang menguruskan diri saya. Saya tak ada pengurus dan saya tak perlukan seorang pengurus untuk menguruskan saya,” tuturnya sambil menafikan mereka berdua bergaduh.


“Tak, mana ada bergaduh. Kami mana ada gaduh apa-apa pun. Saya pinta kepada semua, kalau tak dapat berita jelas, janganlah buat spekulasi sendiri. Sama juga dengan kes MH370, jangan buat spekulasi sendiri sebab banyak orang yang terlibat,” katanya mengakhiri perbualan.


Sumber

Artikel Berkaitan

Previous
Next Post »
Powered by Blogger.