4 Foto Dua Syiling Emas Dipercayai Harta Karun Pulau Nangka

14:35
4 Foto Dua Syiling Emas Dipercayai Harta Karun Pulau Nangka Selepas bekerja keras selama empat bulan, kerja-kerja memburu harta karun di Pulau Nangka mula berhasil apabila artifak berbentuk dua keping syiling ditemui pada pukul 11.30 malam kelmarin. Kedua-dua artifak yang ditemui itu berbentuk bulat dengan diameter kira-kira enam sentimeter berwarna kekuningan.





Artifak pertama mempunyai lima baris tulisan dipercayai huruf zaman kerajaan Majapahit manakala artifak kedua mempunyai lubang berbentuk segi empat di tengahnya mengandungi kalimah Allah dalam tulisan Jawi. Penemuan itu sekali gus memberi peluang kepada syarikat Smart Partnership (M) Sdn. Bhd. untuk meneruskan kerja-kerja pencarian harta berkenaan sehingga keputusan ujian terhadap syiling tersebut diputuskan.






Pengarah Urusan syarikat, Mohammad Foad Khushairy Mohd Said berkata, syiling emas itu ditemui semasa kerja-kerja pengorekan yang dilakukan di salah sebuah lubang yang dipercayai di dalamnya terdapat harta berkenaan.



syiling emas harta karun pulau nangka



“Syarikat akan menghubungi PERZIM dan kerajaan negeri untuk memaklumkan hal ini dan memohon untuk meneruskan kerja-kerja penggalian di Pulau Nangka akan dimaklumkan secepat mungkin. Berdasarkan pada imbasan bumi memang ianya terdapat dalam gua tersebut. Insya Allah jika tiada aral melintang setelah blok batu dikeluarkan serta batuan kecil batu dibersihkan, kita akan dapat masuk ruang kosong tempat menyimpan peti peti harta tersebut,” jelasnya.






Katanya, kerja-kerja penebukan siap sepenuhnya malam tadi dan dijangka kerja-kerja mengangkat batu keluar akan dilakukan hari ini bagi membolehkan harta terbabit dibawa keluar. Beliau yakin harta itu terdapat di bawah batu terbabit selepas melakukan teknik geoteknikal menggunakan imej imbasan bumi. Sekurang-kurangnya terdapat lima buah peti besi yang dipercayai mengandungi emas di ruang berkenaan daripada 20 bilik yang terdapat di dalam gua itu.






Katanya lagi, berdasarkan imej imbasan itu, mereka menjangkakan terdapat 96 peti besi yang mengandungi pelbagai syiling emas, emas dan barangan berharga yang dikatakan disembunyikan semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka bagi mengelak diceroboh pihak Portugis terkandung di gua berkenaan.



Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata, syiling itu akan dihantar ke makmal dan Jabatan Warisan Negara hari ini untuk diuji kesahihannya. Keputusan ujian tersebut akan diketahui dalam masa terdekat. Jelasnya, ujian di makmal penting bagi memastikan sama ada medal itu diperbuat daripada emas atau tembaga selain usia bahan itu sendiri.



Sumber Asal: Kosmo dan Astro Awani





Artikel Berkaitan

Previous
Next Post »
Powered by Blogger.