Ustaz Don Jawab Kritikan Tidak Berasas Wardina
Semalam, Wardina atau nama sebenarnya Safiyyah Fadlullah Wilmot, 35, telah menegur Ustaz Don Daniyal secara terbuka menerusi akaun facebook miliknya kerana merasakan sebahagian ceramah yang dibuat pendakwah berkenaan tidak berpandukan kitab Sunnah dan Hadis.
Sebagai respon kepada teguran itu, Ustaz Don Daniyal hari ini tampil untuk menjawab segala tuduhan yang dilemparkan oleh model tudung terkemuka, Wardina Fadlullah Wilmot terhadap dirinya.
Menurut pendakwah berusia 29 tahun itu, adalah tidak adil untuk menghentam dirinya hanya dengan berpandukan sebuah video yang telah diedit daripada ceramah-ceramahnya terdahulu tanpa meneliti isi kandungannya secara terperinci.
Tambah beliau, Wardina sendiri pernah membuat kenyataan supaya pengguna-pengguna laman sosial tidak memuatnaik perkara-perkara yang dilarang tetapi mengapa beliau sendiri yang melakukannya.
"Apakah niat sebenar Wardina memuatnaik video yang telah diedit itu kemudian menghentam saya, adakah bertujuan baik atau sebaliknya, kebiasaannya video sekerat-sekerat ini hanyalah untuk tujuan propaganda."
Untuk itu, Ustaz Don menyarankan Wardina hadir sendiri ke ceramahnya agar mendapat pencerahan lebih dalam tentang perkara yang dirasakannya musykil, dan bukannya sekadar berpandukan video sekerat-sekerat yang telah diedit.
"Siapa yang buat video sekerat-sekerat ni, apa tujuannya selain daripada untuk tujuan propaganda, jika mereka ikhlas kenapa perlu edit video tersebut.
Saya juga tidak kata saya betul semua, saya manusia biasa tetapi ada orang yang memilih untuk menghentam jika orang itu tidak dalam ahlinya. Mungkin saya selalu kerap keluar di TV Alhijrah menyebabkan ada orang yang tak senang duduk."
Dalam pada itu, Ustaz Don turut melahirkan perasaan hairan mengapa wardina memilih golongan pendakwah untuk dihentam sedangkan orang-orang kafir yang menghina Agama Islam di luar sana Wardina hanya mendiamkan diri.
"Saya tak kenal pun dengan orang yang buat video itu, tak kan saya tak buat rujukan dalam setiap ceramah saya. Sebagai seorang penceramah sudah semestinya saya membuat rujukan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang ceramah.
Saya tak pernah cari pasal dengan sesiapa pun, antara bahan rujukan saya tentang Bani Tamim adalah saya membuat rujukan dengan Ustaz Badlishah. Pendapat dan teori memang ada dikalangan ulama mengikut hadis-hadis.
Saya teringat satu kisah Juraij yang telah difitnah oleh seorang pelacur yang sangat cantik berkata: Jika kalian menghendaki, aku akan memberinya fitnah."
Menurut sumber, punca utama Wardina mengkritik Ustaz Don ialah kerana terdapat staf dalam saluran Al-Hijrah yang sakit hati selepas tidak mendapat surat jemputan ke United Kingdom seperti yang diperolehi oleh Ustaz Don. Kemudian, staf itu dikatakan bertindak mengedit satu video untuk dimuatnaik di akaun facebook miliknya.
EmoticonEmoticon