Suami makan hati, isteri ketagih main online game sampai keguguran!
“DISEBABKAN rasa sayang, saya masih lagi bersabar dengan kerenah isteri yang suka main online game,” kata seorang suami mengenai sikap isterinya.
Kakitangan swasta, Amin Budi (bukan nama sebenar), 30, berkata, dia menyedari sikap buruk isterinya selepas bulan madu pertama mereka apabila Dina, 27, tidak pernah berenggang dengan iPad yang merupakan salah satu barang hantaran perkahwinan yang dihadiahkannya dua tahun lalu.
Pada awalnya Amin berkata, isterinya yang juga seorang suri rumah sepenuh masa tidak menunjukkan ketagihan kerana tetap melayannya dengan baik, namun apabila menjelang setengah tahun perkahwinan, sikap isterinya itu kian menjadi-jadi.
“Isteri saya kadang kala tak beri respons ketika saya bercakap jika ketika itu dia sedang menghadap iPadnya, dan sanggup tidur lewat malam menyebabkan dia kadang-kadang tak melakukan kerja rumah, tetapi menghabiskan masa dengan tidur sahaja di siang hari sebab tak cukup tidur pada waktu malam.
“Apabila saya pulang ke rumah dalam keadaan bersepah, ini menyebabkan stress semakin bertambah. Tak cukup di tempat kerja, di rumah pula keadaan tunggang-langgang,” katanya.
Jelasnya, isterinya suka bermain game 'Candy Rrush' dan game lain melalui Facebook seperti 'Restoran City' dan sebagainya.
Apabila ditegur, isterinya memberitahu ia sekadar untuk mengisi masa terluang sedangkan ketika itu dia berada di rumah.
Lebih malang katanya, isterinya pernah keguguran Januari tahun lalu dan dia menganggap perkara itu berlaku disebabkan sikap isterinya yang suka bermain permainan online sehingga tidak menjaga pemakanan dan waktu tidur yang baik.
'Uninstall' semua permainan
Mengulas lanjut, Amin bagaimanapun tidak menyalahkan isterinya 100 peratus. Dia menganggap isterinya hanya mahu melepaskan tekanan akibat kesunyian di rumah kerana sentiasa ditinggalkan keseorangan.
Amin juga mengakui kadang kala terpaksa meninggalkan isterinya untuk beberapa hari kerana terpaksa keluar daerah atas urusan kerja. Tidak menolak keadaan itu juga turut menjadi penyebab hubungan mereka renggang, Amin kemudian tekad berbincang secara serius dengan isterinya.
Amin bagaimanapun bersyukur kerana keadaan itu membuka ruang yang lebih baik dalam perkahwinan mereka apabila keterbukaan kedua-duanya dalam menyuarakan isi hati masing-masing telah menyebabkan mereka cuba memperbaiki kelemahan yang ada.
“Sekarang ini, isteri saya juga sudah berubah selepas keguguran tahun lalu dan dia juga telah ‘uninstall’ semua permainan yang menjadi ketagihannya sebelum ini,” katanya.
Suami perlu bijak selesai masalah
Dalam masa sama, Amin menasihati mana-mana suami yang menghadapi masalah sama agar bersabar dan berbincang dengan isteri.
“Janganlah kerana online game, berlaku keretakan rumah tangga. Kalau kita ikhlas, ALLAH sudah tentu buka pintu hati isteri untuk terima nasihat kita. Masing-masing ada kelemahan, mungkin ia juga berpunca dari sikap kita, tetapi itulah cabaran perkahwinan,” katanya.
Sementara itu, Munir Ahmad, 32, memberitahu ketagihan terhadap permainan online menyebabkan hubungan sepupu dan suaminya menjadi renggang.
Kata Munir, sepupunya, Suriati, pernah memberitahu walaupun ketika Ramadan, suaminya lebih suka bermain game berbanding solat Tarawih dan kadang-kadang tidur pada jam 4 pagi kerana asyik bermain game.
Begitu juga dari urusan penjagaan anak-anak, jika salah satu dari dua anaknya jatuh sakit, Suriatilah yang menguruskan segalanya kerana suaminya lebih suka menghabiskan masa dengan permainan online.
“Walaupun ia tidaklah menyebabkan hubungan mereka sampai hendak bercerai tetapi melalui ceritanya, suaminya mengabaikan urusan penjagaan anak-anak sehinggakan semua dia yang perlu selesaikan walaupun dari segi nafkah, suaminya tak pernah ‘miss’.
“Apa yang membimbangkannya, anak sulung Suriati juga mengikut perangai ayahnya. Bangun sahaja tidur, dia akan menuju ke komputer untuk bermain game 'Angry Bird',” katanya. -Sinar Harian
EmoticonEmoticon