MPV rempuh lori, penumpang dakwa dengar jeritan minta tolong
Penumpang lori, Nur Azlina Ahmad, 23 yang terbabit dalam nahas mengorbankan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh awal pagi tadi mendakwa ada mendengar suara jeritan minta tolong selepas lori yang dipandu suaminya dirempuh sebuah kenderaan lain, lapor Sinar Harian.
Ketika kejadian, Nur Azalina bersama suami, Abu Mansor Mohd, 45, dan anak perempuan mereka, Nurieman Diana Qhaleesha, 4, dalam perjalanan menghantar barang simen, besi dan mozek ke Bukit Mertajam.
“Suami saya memandu lori di laluan kiri dan ia dipandu perlahan, tetapi secara tiba-tiba lori itu dirempuh kuat dari arah belakang,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, selepas hentaman kuat itu, beliau mendengar suara lelaki menjerit dan meminta tolong.
“Serentak itu saya dengar suara lelaki menjerit, ada juga yang minta tolong,” katanya.
Kemalangan pada jam 1.10 pagi di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara Selatan laluan utara berhampiran Gua Tempurung di Kampar itu turut mengorbankan pembantu peribadi Karpal, Michael Cornelius, 39.
Menurut polis, kenderaan Toyota Alphard serba guna (MPV) yang dinaiki Karpal, 73, dan empat yang lain dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori jenis Mitsubishi Canter seberat lima tan.
Lori berkenaan dipercayai bergerak perlahan di sebelah kiri laluan ke utara lebuhraya berkenaan memandangkan ia membawa muatan berat dan tempat kejadian juga merupakan kawasan laluan berbukit.
Lima penumpang berada di dalam MPV itu termasuk pemandu manakala ada tiga individu di dalam lori.
Pemandu lori bersama isteri dan anak mereka tidak mengalami kecederaan.
Karpal dalam perjalanan ke Pulau Pinang untuk menghadiri satu kes di mahkamah ketika kejadian itu berlaku. – 17 April, 2014.
EmoticonEmoticon